Khamis, 19 Mei 2011

BilHikmah




Jam di dinding mencecah angka 12.30 tengahari menandakan waktu pulang bagi pelajar sesi pagi dan juga masa untukku berehat sambil membuat persiapan bagi tugas berikutnya untuk pelajar sesi petang. Kedengaran riuh rendah suara para pelajar yang menuruni anak-anak tangga sambil bersembang dengan rakan-rakan mereka seolah-olah seperti baru dibebaskan dari penjara. Hal itu bukanlah menjadi masalah bagiku kerana adakala ia seakan hiburan yang mencuit hati. " hemmmm " aku melepaskan rasa lelahku. Ku lihat ada tiga lagi fail berkaitan laporan masalah disiplin pelajar yang perlu diteliti. Jari - jemariku menyelak helaian demi helaian dari salah sebuah fail tersebut. Mataku tertumpu pada sebaris ayat " ponteng sekolah ". " Masalah yang sama " aku mengeluh lagi. Itulah rutin harianku setiap hari di sekolah. Aku adalah seorang guru kaunselor di sebuah sekolah menengah yang terletak dalam kawasan bandar. segala masalah pelajar sama ada berkaitan disiplin atau peribadi akan diserahkan kepadaku. Aku menerima tugas ini dengan penuh kerelaan kerana sifat kejiwaanku yang gemar membantu orang dan sedia menjadi pendengar setia untuk apa jua luahan hati yang di sampaikan kepadaku. Walaupun adakala aku mengeluh letih kerana melayan masalah-masalah pelajar yang berbagai kisah namun bagiku itu hanya keluhan kosong. Kenyataannya, kerjaya ini memerlukan komitmen yang tinggi namun aku terima dengan hati yang redha dan terbuka kerana bagiku ini adalah amanah Allah s.w.t dan aku bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

*****

" Tuk tuk " kedengaran pintu bilikku di ketuk. Aku terus membetulkan dudukku sambil merapikan tudungku yang terkelepek. Sebagai seorang kaunselor penampilanku perlu kemas dan sentiasa dalam keadaan bersedia menerima klient." Masuk " pintaku. " Assalamualaikum ". " Waalaikumussalam..ooh cikgu Farisha rupanya. Saya ingatkan pelajar tadi. Silakan duduk " pelawaku sambil mengukir senyuman. " Ada apa yang boleh saya bantu? " soalku penuh minat. " Begini ceritanya " cikgu Farisha memulakan bicara. " Seorang pelajar saya mengalami kemurungan. Sebelum ini dia merupakan pelajar yang sangat aktif dan bijak. Namun sejak akhir-akhir ini dia semakin pendiam dan tidak mesra seperti biasa. Saya sudah bertanya beberapa kali namun dia sukar untuk meluahkan masalahnya kepada saya malah akan menangis apabila ditanya " cerita cikgu Farisha panjang lebar. " Saya risau la..lagipun tahun ni dia nak SPM " adu cikgu Farisha dengan riak wajah yang menampakkan kerisauannya. " Saya faham perasaan cikgu..serahkan pada saya..InsyaAllah saya akan cuba bantu pelajar cikgu " ujarku sambil mencapai borang maklumat pelajar untuk diisi oleh cikgu Farisha. Borang tersebut perlu dimuatkan dengan butiran pelajar dari segi latar belakang serta laporan berkaitan masalah yang dihadapi pelajar tersebut. Kelihatan cikgu Farisha khusyuk memenuhkan segala maklumat berkaitan pelajarnya. Bertuah betul pelajar tersebut kerana mendapat guru kelas yang amat prihatin tentang pelajarnya. " Em ini borangnya cikgu Honey " ungkap cikgu Farisha sambil menghulurkan kembali borang yang telah diisi kepadaku. Cikgu Farisha lantas bangun serta memegang bahuku dan memandangku penuh harap agar aku dapat menyelesaikan masalah tadi. Aku mengangguk dan memberi senyuman untuk meyakinkan rakanku itu. " Terima kasih " ucapnya perlahan. " Sama - sama " jawabku dan menghantarnya ke muka pintu. Aku kembali ke tempat dudukku dan terus meneliti borang tadi. " Nama AisyatulQaisara bt. Muhd Wassim. umur 17 tahun merupakan anak tunggal dan...... " aku terus membacanya penuh perhatian. Melalui cara ini aku dapat memahami sedikit sebanyak tentang latar belakang pelajar tadi dan ia akan memudahkan proses kaunseling nanti.

*****

Kedengaran bunyi tapak kasut menghampiri pintu bilik kaunseling. Kulihat kelibat bayang - bayang manusia dari bawah pintu. Hampir 5 minit aku menunggu namun tidak kedengaran langsung pintu diketuk. Ku perhatikan bayang - bayang tadi mundar - mandir di hadapan pintu. " Siapa agaknya yer..mungkin pelajar cikgu Farisha " detikku dalam hati. Aku terus meluru dan memulas tombol pintu. Kelihatan seorang gadis ayu berlesung pipit menoleh ke arahku. " Nama kamu AisyatulQaisara ke ? " soalku. Sambil menggenggam jari - jemarinya dia menjawab " ya cikgu ". " Jemputlah masuk..kenapa tak ketuk pintu tadi? mujur saya dengar macam ada orang kat luar " aku berseloroh. AisyatulQaisara hanya tersenyum namun riak wajahnya mencerminkan jiwanya yang sedang berduka. Aku lantas mempelawanya duduk di suatu sudut yang dikhaskan untuk sesi kaunseling secara individu. " Kamu sihat? " soal ku memulakan bicara. " Alhamdulillah sihat " jawabnya rigkas. " Kamu rasa kamu tahu tak kenapa saya panggil kamu ke sini? " soal ku lebih lanjut.Sementara menanti jawapannya ku sesekali memandang tepat ke arahnya dan kulihat air mata sudah bertakung di kelopak matanya menanti untuk gugur sahaja. Aku menghulurkan tisu yang sememangnya tersedia di situ. AisyatulQaisara mengesat air matanya sambil menjawab pertanyaanku " tahu cikgu..cikgu Farisya dah beritahu saya ". Aku terus meneroka lagi dengan beberapa soalan. " Em kalau kamu tak keberatan..ceritakanlah apa sebenarnya masalah kamu.InsyaAllah saya akan berusaha membantu kamu dan segala apa yang kamu ceritakan saya akan rahsiakan dari pengetahuan sesiapa sahaja termasuklah guru kamu " jelasku memberi keyakinan. Mendengar kata - kataku itu dia semakin sebak dan terus menangis panjang lalu aku membiarkannya. " Biarkanlah air mata yang mengalir itu sedikit sebanyak akan meredakan gelodak dijiwanya " bisikku dalam hati. Agak lama juga aku menunggu tangisannya reda namun aku tetap setia menunggunya di situ. Dalam etika kaunseling hal ini amat penting bagiku kerana cara ini menunjukkan aku benar - benar ikhlas ingin membantu klient dan memberi keyakinan bahawa ada orang yang sudi mendengar masalah klient seperti AisyatulQaisara. " Jiwa saya resah la cikgu " ungkapnya memulakan cerita. " Saya adalah anak tunggal. Ibu ayah sibuk bekerja siang malam dan tak pernah pedulikan saya. Sekarang ni dengar ura - ura yang mereka akan bercerai. Saya sangat susah hati dan kecewa dengan mereka cikgu " ceritanya lagi. " Kamu tahu atas alasan apa mereka ingin bercerai? " tanyaku menampakkan kesungguhan. " Mereka sudah tidak sehaluan lagi..ayah pula sudah pandai berfoya-foya di pusat hiburan dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk..hal ini menyebabkan ibu dan ayah selalu bertengkar " luahnya lagi sambil menundukkan wajahnya yang kemerahan dek kerana tangisannya tadi. " Mak ayah buat hal anak yang jadi mangsa " keluhku dalam hati. Aku terus mendengar kisah AisyatulQaisara dengan penuh minat. Bagiku ini adalah kes terbaru sepanjang aku menjadi kaunselor di sekolah ini.

****

Dari jauh kumemerhatikan sekumpulan pelajar perempuan sedang seronok mengulangkaji pelajaran bersama-sama di bawah sepohon pokok ketapang yang rendang. Angin yang bertiup lembut menerbitkan keselesaan untuk mereka berbincang di situ. Antara sekumpulan pelajar itu kelihatan sebatang tubuh yang sememangnya kukenali. " AisyatulQaisara " sebutku perlahan. " Alhamdulillah, mungkin dia sudah pulih dari kemurungannya " fikirku. Ku tersenyum melihat gelagatnya yang adakala bergurau bersama rakan-rakan di dalam kelompok itu. " Baguslah nampaknya dia mendengar segala nasihat dan tunjuk ajar yang kuberikan sebulan yang lalu " aku cuba membuat andaian. Dalam kotak fikiranku terus mengimbau semula tatkala dia meluahkan segala keresahannya padaku kira-kira sebulan yang lalu. Aku merasa amat simpati kepada gadis kecil molek itu dan aku merasakan seolah-olah gelodak jiwanya menusuk kejiwaku. Masihku ingat semasa hari kedua sesi kaunseling, aku terus memintanya mengambil wudhuk dan membaca al-Quran surah Al- Baqarah ayat 1-20. Pada sesi yang berikutnya juga begitu cuma bezanya aku meminta supaya menyambung ayat seterusnya dari surah yang sama. " Bagaimana kamu rasa selepas membaca ayat-ayat suci ini? " soalku kepada Aisyatulaisara. Lantas dia menjawab dengan penuh ketenangan " saya rasa amat tenang cikgu..sebenarnya saya jarang mengaji di rumah namun sejak cikgu minta saya mengaji tempoh hari saya sudah mula melakukannya di rumah " responnya dengan jujur. Terpancar kejujuran di wajahnya tika menjawab pertanyaanku itu. " Baguslah.. itulah sebenarnya yang saya harapkan " ungkapku penuh makna. " Emm..nanti untuk pertemuan seterusnya bawa telekung yer Qaisara " pintaku sambil melemparkan senyuman berbaur harapan. Sebagai tanda setuju dia mengenyitkan sebelah matanya ke arahku. Tika itu kami berdua tertawa mesra dan hatiku berbisik " InsyaAllah dia akan kembali seperti sediakala...amin ". "Cit..cit..cit.." suara burung berkicau mengejutkanku dari lamunan. " Oh ada satu kes lagi hari ni yang memerlukan khidmatku. Aku bergegas ke surau berdekatan untuk menunaikan solat sunat hajat 2 rakaat. Ia merupakan amalan yang sudah sebati dengan diriku sebelum memulakan sesi kaunseling. Melalui cara ini aku dapat memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah s.w.t kerana Dia yang menguasai tampuk pemerintahan di langit dan di bumi. Hanya Dialah yang layak disembah dan tempat untuk memohon pertolongan. Perkara ini jugalah aku terapkan kepada AisyatulQaisara dulu kerana melalui cara ini sahaja akan mendekatkannya dengan pencipta alam maya ini. Sesungguhnya apa jua masalah perlulah dirujuk pada-Nya kerana hanya Dia sahaja yang maha mengetahui segalanya dan maha mendengar keluhan hamba-Nya. Dari sinilah akan wujudnya ketenteraman jiwa dan apabila seseorang itu dalam keadaan tenang maka segala masalah akan dapat diatasi dengan akal yang rasional dan penuh keredhaan.

****

" Cikgu Honey..cikgu Honey " terdengar sayup-sayup suara memanggilku. Aku yang kebetulan sedang membuka pintu kereta terus mengalihkan pandangan ke arah suara tadi. Kelihatan susuk tubuh kurus dan tinggi menerpa ke arahku. " Cikgu Farisha rupanya..apa pulak halnya " bisikku perlahan. " Ye cikgu Farisha..ada apa yer? " soalku penuh tanda tanya. " Em saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab bantu selesaikan masalah AisyatulQaisara..dia pelajar harapan saya tu cikgu..saya tak sangka dia akan kembali pulih secepat ini..cikgu Honey betul-betul kaunselor yang hebat " ucapan dan pujian yang sedikit terkesan dalam hatiku." Apa rahsia cikgu yer sampai dia benar-benar pulih dan sikapnya lebih baik dari sebelumnya? " soalan cepu emas dari cikgu Farisha menerjah ke telingaku.Aku tersenyum panjang dan dengan rasa rendah diri aku memberi jawapan " Tiada rahsiapun cuma apa sahaja yang kita lakukan perlulah Bil Hikmah cikgu Farisha ". " BilHikmah? " soal cikgu Farisha kehairanan. " yer BilHikmah " aku mengulang ungkapan tadi sekali lagi." Sebagai seorang guru yang juga merupakan hamba Allah di muka bumi ini, kita perlulah melaksanakan apa sahaja tindakan kita dengan penuh hikmah iaitu menggunakan kebijaksanaan melalui akal pemberian Allah s.w.t di samping menjaga adab-adab sebagai insan agar dipandang mulia di sisi Allah dan dihormati masyarakat " jawabku dengan nada penuh keinsafan. " Alhamdulillah sampai juga dakwahku akhirnya " jiwaku berdetik. Sesungguhnya aku sedar bahawa tanggungjawab aku selama ini adalah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta membasmi gejala sosial yang tidak sihat di kalangan pelajar sekolah dan pelaksanaannya perlulah penuh hikmah bagi menjamin keberkesanannya. Cikgu Farisha menghulurkan tangannya ke arahku lalu aku terus berjabat tangan dengannya penuh kegembiraan. Ketika itu hatiku merasa puas dan bersyukur kerana berjaya membantu menyelesaikan satu lagi masalah pelajar yang berkemungkinan akan terjebak dengan gejala negatif sekiranya lambat bertindak. Aku sentiasa menyimpan azam untuk terus menjalankan tugas mulia ini selagi hayat dikandung badan. InsyaAllah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan