Jumaat, 18 Jun 2010

Hidayah Itu Bukan di Tanganku

Kurenungi lautan yang luas terbentang. Ya Allah! betapa hebatnya alam ciptaanmu ini. Cantiknya suasana apabila matahari hampir menenggelamkan diri. " Ya Allah! Aku rindukan hidayahMu untuk Kau berikan kepada hamba-hambaMu yang belum pernah merasainya " jiwaku merintih penuh harap..
Tanggal Julai 2003 setelah tamat pengajianku di sebuah institusi pendidikan di Terengganu dan aku pulang dengan penuh kesyukuran kerana perjuanganku telah selesai di sana dan bermulalah perjuangan yang baru di tempat aku sendiri.
****
" Kak Fida oo Kak Fida" kedengaran suara Syikin sepupuku memanggilku. " Yer saya " jawabku yang asyik menyiang ikan di dapur." Ha kenapa Kin? jawabku. " Kak Fida boleh tolong Kin tak? " pintanya.Syikin adalah sepupuku yang pada waktu itu sedang menunggu keputusan SPM. Sementara menunggu keputusan SPM dia bekerja di sebuah kedai menjual kacamata milik sebuah keluarga berbangsa Cina. " Tolong apa Kin? " aku meneruskan bicara. " Keputusan SPM dah nak keluar, boleh tak tolong gantikan Kin dekat kedai tempat Kin kerja? Kin dah nak berenti lagipun akak tengah tunggu keputusan UPU kan? " terang Syikin penuh harapan. " Erm bolehlah Kin, boleh juga akak cari pengalaman kan, mana la tau lepas ni boleh buat bisnes hehehe.. " aku menerima pelawaan tersebut tanpa berfikir panjang.
****
" En Wan saya nak minta izin pergi sembahyang yer " ucapku mohon kebenaran pada majikanku. " Oh boleh, tak payah cari surau, saya memang sediakan tempat sembahyang untuk pekerja saya yang beragama Islam " jawabnya pantas. Dalam hatiku amat bersyukur kerana di temukan dangan majikan sebegini.
Hari-hariku berjalan seperti biasa dan sepanjang aku bekerja, aku sentiasa berazam untuk menjadi contoh yang terbaik buat En Wan majikanku itu tambahan pula dia berlainan bangsa dan agama. Aku berharap agar perilakuku itu sedikit sebanyak ada mesej berbaur dakwah dan apa yang aku pelajari sebelum ini di kolej tidak sia-sia.
****
Suatu hari sedang aku mengambil telekung di dalam laci untuk ke ruang solat kedengaran suara En Wan berkata " Fida, awak tahu tak saya ni nama saja beragama Budha tetapi dalam jiwa saya kosong seolah-olah tidak bertuhan ". Aku terkejut dengan kata-katanya. " Saya suka tengok cara awak, sentiasa tenang dan awak sangat taat pada tuhan " ujarnya lagi. Aku terdiam dan dalam hatiku berkata ini adalah merupakan satu permulaan dakwahku lantas aku berdoa agar Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada majikanku itu.
****
Aku berusaha sedaya upaya untuk menarik jiwa Encik Wan ke arah mengenal Allah dengan pelbagai pendekatan psikologi . Apa yang aku pelajari di kolej dulu aku gunakan sebagai panduan. Pernah suatu hari Encik Wan memintaku membelikan mi goreng. Dia memesan agar aku membeli di kedai yang halal. Aku tersenyum sendirian dan timbul juga kehairanan kerana majikanku itu tidak pernah meminta aku membelikan makanan untuknya. " erm dah dapat hidayah kot " bisikku dalam hati. Dek kerana gembira dengan permintaan En Wan itu aku juga turut membeli makanan yang serupa iaitu mi goreng.
****
Sampai sahaja di kedai aku pun terus menyerahkan mi goreng yang di pesan tadi kepada Encik Wan. Aku mengambil tempat dan membuka makanan di hadapanku. Baunya yang enak membuatkan aku tidak sabar untuk menikmati rezeki dari Allah itu. Teringatku akan chopstick yang sememangnya aku beli untuk praktikal semasa di kolej dulu. Aku mengambil chopstick tersebut di dalam beg dan kemudian membaca doa sebelum menjamah mi goreng tadi. Di suatu sudut kelihatan seseorang sedang memerhatikan aku. Aku menoleh ke arah itu dan kulihat Encik Wan sedang memerhatikan aku. " Boleh ke orang Islam makan pakai chopstick? " tanyanya penuh minat. Dengan senang hati aku menjawab " kenapa pulak tak boleh ". " Adakah menjadi kesalahan orang Islam menggunakan peralatan bangsa lain? " giliran aku pula menyoalnya. " Tak salah. Saya ingat orang Melayu tak boleh jadi orang Cina " jawabnya. Aku tersenyum dan aku terus memberi penerangan dengan panjang lebar kepadanya.
****
Masa terus berlalu , aku difahamkan keputusan UPU telah diumumkan dan namaku tidak tersenarai untuk meneruskan pengajian. Aku terima dengan redha kerana aku pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Aku ditawarkan untuk mengajar di sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor.
****
Hati ku terasa berat untuk berhenti bekerja dengan Encik Wan. Namun aku pasrah dengan ketentuan ilahi yang mungkin menuntut aku agar berdakwah kepada bakal generasi hadapan yang lebih ramai lagi untuk melahirkan para Da'i yang berjuang untuk meramaikan umat Islam di muka bumi Allah ini. Walaupun hatiku belum puas untuk berdakwah kepada majikanku itu namun hingga kesaat ini aku sentiasa berdoa agar suatu hari nanti Encik Wan akan dibukakan hati dan mendapat hidayah Allah s.w.t untuk menerima agama yang suci ini. Aku sedar, aku tidak boleh putus asa dalam urusan ini kerana hidayah itu bukan di tanganku sebaliknya ia milik yang Maha Kuasa...

******************************************************************************************

Kisah ini adalah merupakan pengalaman saya sendiri dan ia sebenarnya bukan berakhir setakat itu bahkan melalui berbagai cabaran yang cukup menduga kesabaran saya. Benarlah kata pensyarah saya dulu, bukan mudah untuk menarik jiwa seseorang ke arah kebenaran, bukan mudah hidayah Allah itu sampai kepada sesiapa sahaja melainkan dengan izin Allah. Namun sebagai seorang da'i kita tidak boleh menyerah kalah sebaliknya berusaha untuk memperbaiki diri dan melengkapkannya dengan ilmu yang cukup serta tidak putus berdoa kepada Allah s.w.t...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan