Khamis, 17 Jun 2010

Ibarat Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Lurus


Ketam adalah merupakan makhluk ciptaan Allah yang cukup unik kerana ia satu-satunya makhluk Allah yang ditakdirkan tidak berjalan lurus kehadapan sebaliknya mengarah ke tepi. Walaupun begitu, namun ia punya keistimewaan yang tersendiri. Dagingnya sangat enak apabila dimasak dengan berbagai resepi dan menjadi kegemaran masyarakat berbilang bangsa khususnya di Malaysia.
Namun sebagai hamba Allah di muka bumi ini adakah pernah kita terfikir hikmah di sebalik sesuatu penciptaan?Cuba kita amati cara ketam berjalan. Mengapakah cara ia berjalan sedemikian rupa? Mengarah ketepi walau kelihatan seolah-olah berusaha berjalan betul. Ayuh kita kaitkan pula cara ketam berjalan dengan realiti kehidupan manusia.
Manusia makhluk Allah yang cukup hebat diciptakan dengan sepasang kaki yang boleh bergerak kemana sahaja dan sentiasa menuju ke hadapan. Disebabkan dek kehebatan ini maka sebagai manusia kita dituntut untuk ( berdakwah ) menyeru manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Namun adakala kita sendiri tidak melakukan apa yang kita suruh orang lain lakukan. Sebagai contoh dari pengamatan saya, seorang guru mengajar murid-muridnya agar diam sepanjang laungan azan berkumandang tanda menghormati seruan tersebut. Tetapi apabila guru tadi bertemu rakan-rakan lain dipejabat atau sebagainya, guru tersebut tetap asyik bersembang walaupun suara azan sedang dilaungkan. Perkara sebegini tidak wajar berlaku kerana seorang guru sepatutnya menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak didiknya. Dengan ini barulah pengajaran menjadi lebih berkesan. Cuba kita bayangkan jika anak murid tadi ternampak gurunya bersembang-sembang tatkala azan sedang berkumandang, ini akan menimbulkan kekeliruan di fikiran mereka dan mereka mungkin akan menyimpulkan dengan pelbagai andaian samaada kata-kata guru tadi benar atau tidak. Inilah yang dikatakan sebagai "ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus namun dia sendiri berjalan tidak betul" atau dengan ayat yang mudah " cakap tak serupa bikin ". Iaitu mengajar orang melakukan kebaikan tetapi diri sendiri melakukan sebaliknya.
Perkara-perkara sebegini perlulah dijauhkan kerana ini sudah menjejaskan keberkesanan dakwah itu sendiri. Sepatutnya sebagai seorang Da'i kita perlu bersedia dari segenap segi dan sentiasa menjaga hubungan dengan Allah agar sentiasa dilindungi dan terhindar dari melakukan dosa. Ingatlah kita adalah ikon kepada masyarakat. Jika kita sendiri tidak betul bagaimana kita hendak membetulkan orang lain.
Apa yang dapat kita simpulkan di sini ialah ciptaan Allah itu sangat adil dan saksama serta punya hikmah yang tersendiri. tidak semua yang dijadikan Allah itu sempurna tetapi diselangi dengan kelebihan dan kekurangan agar manusia tidak terus hanyut dengan arus dunia yang penuh dengan pancaroba. Ketam dikurniakan kaki untuk berjalan ke tepi kerana ia hidup dengan ombak. Manakala manusia dilengkapi dengan akal fikiran supaya sentiasa berfikir..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan