Selasa, 15 Jun 2010

Terapi Sedeqah



Hari ini seperti biasa ku menyusuri jalan yang seakan denai dek kerana diselaputi rumput-rumput untuk menuju ke sekolah tempat aku berjuang menyampaikan ilmu Allah sebaik mungkin kepada anak didikku. Kuterlihat disuatu sudut seorang lelaki tua yang cukup uzur mencari kotak-kotak terbuang untuk dijual. Jauh di sudut hatiku melahirkan rasa simpati. Sepatutnya diusia sebegitu dia sedang berbahagia dengan keluarga dan anak cucunya di rumah. Sedang asyik memerhatikan si tua itu kelihatan seorang pemuda menghampirinya dan menghulurkan sedikit wang. Airmataku mengalir tiba-tiba tanpa ku pinta. Luhur sungguh hati pemuda itu memberi sedeqah. Lantas kuteringat anak-anak muridku. " Terima kasih ustazah " ucapan yang selalu kuterima setiap kali menjelang Jumaat. " Ustazah, kenapa ustazah selalu bagi kami roti pada hari jumaat? " terdengar suara si kecil menyoalku. Aku tersenyum mendengar soalan yang diajukan kepadaku sambil menjawab " ini adalah sedeqah saya untuk kamu ". " Sedeqah? " tanya mereka lagi. Lantas aku terus bermain dengan psikologi mereka kerana aku sedar sudah menjadi tanggungjawab aku untuk menerangkan apakah rahsia di sebalik sedeqah tadi.

Sedeqah adalah merupakan satu amalan yang mulia . Ia merupakan harta yang dikeluarkan oleh manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t seperti zakat. Bezanya sedeqah dikategorikan sebagai sunnah manakala zakat adalah suatu yang wajib.


Terdapat beberapa pendapat ulama salaf berkaitan amalan sedeqah antaranya dipetik dari kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib : " Sesiapa yang dikurniakan harta Allah s.w.t, maka hendaklah menyambung silaturrahim, menghormati tetamu, menyenangkan yang sedih dan tawanan yang dalam perjalanan ( musafir ), orang-orang miskin, para mujahid dan hendaklah bersabar menghadapi musibah kerana dengan semua ini kemuliaan dunia dan kebahagiaan di akhirat akan diperolehi. Kata-kata beliau ini bukanlah omongan kosong sebaliknya berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang sentiasa berdampingan dengan Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda.


Amalan bersedeqah ini merupakan satu keutamaan yang agung dan ganjarannya adalah pahala yang amat besar dari Allah s.w.t sebagai hadiah untuk manfaat di dunia dan akhirat selagi mana amalan sedeqah tadi membawa kebaikan kepada masyarakat. Antara keutamaan yang besar yang boleh diperolehi melalui sedeqah ini ialah Sedeqah Menyucikan dan Membersihkan Diri. Firman Allah s.w.t di dalam surah At-Taubah ayat 103 yang bermaksud ;


" Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui "


Perkataan membersihkan, membawa maksud membersihkan dari dosa-dosa dan sifat bakhil. manakala perkataan menyucikan bermaksud membersihkan dan menyucikan serta menghilangkan keburukan dan meningkatkan darjat seseorang.


Selain itu, hikmah di sebalik sedeqah juga akan melindungi orang mukmin pada hari kiamat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ;


" Pada hari kiamat manusia berpeluh hingga peluhnya mencapai ke bumi 70 hasta dan mengenangi mereka sampai ke hidung mereka "


Hadis ini menceritakan tentang keadaan hari kiamat yang amat menakutkan iaitu keadaan yang terlalu panas dan matahari berada tepat di atas kepala manusia sehingga menyebabkan peluh yang melimpah sehingga menenggelamkan manusia dan saat ini lah manusia amat memerlukan perlindungan. Maka sedekahpun datang untuk menaungi pelakunya.


Dalam hadith lain juga disebutkan tentang tujuh golongan yang berada dalam naungan Allah s.w.t pada hari kiamat. Antara golongan itu ialah ; " seseorang yang bersedeqah dan merahsiakan sedeqah itu sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya ." ( Riwayat Bukhari dan Muslim )


Pahala sedeqah juga tidak akan putus sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. Ketika saat ajal seseorang ketika mana nyawa sedang melalui saat-saat terpisah dari jasad dan ketika itulah sesorang memerlukan amal perbuatan baik supaya terselamat dari siksaan Allah s.w.t. Salah satu amalan baik yang tidak akan pernah putus meskipun pemiliknya sidah meninggal dunia adalah sedeqah tadi.


Amalan sedeqah juga dapat menghapuskan dosa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa amalan sedeqah dapat melenyapkan dosa sebagaimana air memadamkan api.


Terdapat banyak lagi sebenarnya kelebihan di sebalik sedeqah ini. oleh itu jadikanlah amalan ini sebagai satu terapi untuk kita mendidik jiwa kita dari sikap kedekut sebaliknya beroleh kepada sifat dermawan dan suka mengembirakan orang lain di samping membersihkan jiwa dan harta. Didiklah sesiapa sahaja terutamanya anak-anak yang masih kecil agar membiasakan diri untuk bersedeqah walaupun sedeqah tersebut sekadar benda yang kecil tetapi memberi makna yang cukup besar dan yang paling utama adalah pengajaran tersebut memberi kesan terhadap keperibadian anak-anak itu sendiri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan